Kepentingan seni dalam pendidikan ( SDP ) dalam proses P&P sekolah rendah
1.0 PENDAHULUAN
Dunia semakin berubah seiring dengan peredaran masa, begitu juga halnya dengan pendidikan masa kini. Jika pada suatu masa dahulu pelaksanaan kurikulum dan program pendidikan di sekolah dinegara kita adalah bercorak tradisional semata-mata namun pada masa kini kita sudah pun menggunakan teknologi yang sangat terkini. Para pelajar juga sudah semakin pintar dalam menggunakan teknologi. Namun persoalannya, sejauh manakah kaedah atau corak pendidikan itu memberikan kesan kepada para pelajar terutamanya kanak-kanak pada hari ini. Adakah kanak-kanak berasa seronok dan puas?
Oleh yang demikian mata pelajaran seni telah diwujudkan di sekolah rendah. Seni dalam pendidikan atau lebih dikenali sebagai SDP diwujudakan bagi membantu perkembangan yang seimbang individu itu dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga sosial sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
Kaum guru merupakan anggota sekolah yang melibatkan diri secara langsung dalam pelaksanaan kurikulum dan program pendidikan di sekolah. Peranan yang dimainkan oleh seseorang guru dalam sebuah sekolah tidak kurang pentingnya, malah amat penting dari segi pencapaian aspirasi dan matlamat sekolah. Guru bukan sahaja memainkan peranan dalam menyampaikan ilmu, namun ada banyak lagi peranan yang dimainkan oleh guru.
Profesor Syed Muhammad al-Alfas mengatakan ilmu merupakan sesuatu yang bermakna dan membawa penyuburan serta semangat kepada jiwa manusia. Hal ini menunjukkan ilmu ticlak hanya terhad kepada kebenaran-kebenaran yang bersifat objektif clan empirikal, tetapi juga merangkumi kebenaran-kebenaran yang berkaitan dengan jiwa manusia. Seseorang yang berilmu bukan sahaja memiliki kebenaran, malahan keyakinan serta kesedaran bahawa ilmu boleh memberikan kepuasan kepada jiwa manusia dan menimbulkan keinginan untuk mengejar kebahagiaan yang bermakna dalam kehidupannya.
Corak pendidikan pada hari ini lebih menuntut kepada corak pembelajaran yang lebih kreatif dan menarik agar kanak-kanak tidak berasa bosan disamping dapat mempertingkatkan pelbagai kemahiran dan bakat dalam diri masing-masing
2.0 APA ITU SENI DALAM PENDIDIKAN
Secara umumnya, seni adalah berkaitan dengan hal-hal mengenai keindahan atau estetika yang merangkumi aspek-aspek jasmani dan rohani individu dan juga masyarakat. Seni disifatkan sebagai suatu kegiatan atau proses penciptaan yang memerlukan kemahiran serta pengetahuan yang nyata (Martin, 1986 : 12). Hauser dalam tulisannya, berpendapat bahawa seni adalah komunikasi (1959). Dari perspektif pendidikan dapatlah dikaitkan bahawa bidang-bidang pendidikan juga memerlukan estetika seni untuk diketengahkan bagi memudahkan penyampaian sesuatu maksud agar lebih menarik dan mudah difahami. Maka dengan itu lahirlah apa yang dikatakan Seni Dalam Pendidikan.
Seni Dalam Pendidikan (SDP ) pula adalah merupakan satu bidang yang menumpukan kepada seni visual, seni muzik dan seni pergerakan dan ianya tidak merujuk kepada bidang seni lain seperti seni sastera, seni teater, seni fotografi atau seni mempertahankan diri. Seni Dalam Pendidikan diperkembangkan dalam diri murid untuk menajamkan lagi instuisi, persepsi, imaginasi dan konsepsi mereka. Murid diberi peluang menggunakan pancaindera mereka untuk meningkatkan kreativiti, sensitiviti serta daya imaginasi dalam pembelajaran mereka. Selain itu Seni Dalam Pendidikan juga berperanan untuk mengembangkan daya persepsi, estetika dan kreativiti mereka sesuai dengan matlamat untuk melahirkan individu yang berjiwa kreatif, inovatif dan mempunyai nilai jati diri yang tinggi.
3.0 KEPENTINGAN SENI DALAM PENDIDIKAN ( SDP ) DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI PERINGAT SEKOLAH MENENGAH.
Tidak dapat dinafikan terdapat banyak kepentingan Seni Dalam Pendidikan
( SDP ) dalam proses pengajaran dan pembelajaran kita pada hari ini kepada kanak-kanak sekolah rendah khasnya. Kepentingan ini boleh kita lihat dari beberapa sudut iaitu, kepentingan kepada kanak-kanak dan juga kepentingannya kepada guru yang mengajar mata pelajaran itu sendiri.
Menurut Teori Konstruktivisme kanak-kanak yang diajar melalui pembelajaran secara meneroka, bereksperimen dan mengolah bahan atau objek akan dapat mengekspresikan idea secara bebas dan kreatif, kerana adanya unsur-unsur seni dalam pendidikan dalam pembelajaran mereka. Oleh yang demikian melalui seni dalam pendidikan (SDP) kanak-kanak dapat dapat mengekspresikan atau mempamerkan idea yang kreatif dengan adanya unsure-unsur seni dalam pendidikan.
3. 1 Menjadikan proses P&P menjadi lebih menarik dan menyeronokkan
Salah satu kepentingan SDP dalam Proses pengajaran dan pembelajaran sekolah rendah ialah menjadikan proses P&P menjadi lebih menarik dan menyeronokkan. Ini adalah disebabkan penggabungan tiga buah mata pelajaran seni akan dapat menarik minat kanak-kanak sekolah rendah . Menurut Russel (1968), matlamat sesorang guru sekolah rendah dalam pengajaran dan pembelajaran ialah untuk melatih ataupun membentuk kanak-kanak yang mempunyai kemahiran memerhati, sensitif terhadap pergerakan, bunyi, bentuk, tekstura dan irama.
Oleh yang demikian murid-murid akan mengambil bahagian dalam pembelajaran yang melibatkan berbagai-bagai kemahiran yang disediakan oleh guru. Di samping itu juga kanak-kanakjuga akan dapat melahirkan idea dan juga kreativiti mereka cara mereka sendiri ataupun dengan cara bebas.
Contohnya, kaedah belajar secara bermain dapat membina dan menjalinkan perhubungan sosial sesama murid. Selain itu, perhubungan sesama murid juga dapat bertambah mesra dan dapat bekerjasama melalui aktiviti-aktiviti permainan secara kumpulan. Ini turut membantu dalam penyemaian nilai-nilai murni di dalam diri dan meningkatkan motivasi untuk mengikuti proses pembelajaran.
Selain itu kita juga dapat melihat semasa proses P&P berlansung. Kanak-kanak diminta untuk membuat bunyi binatang peliharaan masing-masing. Dalam aktiviti tersebut kita akan mendengar pelbagai bunyi yang akan dibuat oleh kanak-kanak. Seterusnya kanak-kanak diminta untuk membuat gaya haiwan mengikut kreativiti mereka masing-masing dan juga guru akan meminta untuk kanak-kanak melukis di sehelai kertas tentang haiwan peliharaan mereka masing-masing. Apa yang dapat kita lihat semasa proses P&P ini ialah kanak-kanak akan dapat membina konsep kendiri dalam kumpulan rakan sebaya.
3.2 Medium untuk pengajaran secara penerokaan, pengembangan kreativiti, proses-proses berfikir secara kritis dan kreatif dalam penyelesaian masalah dan merangsang pembinaan keyakinan diri dan imej kendiri yang utuh.
Kepentingan kedua ialah dengan adanya pengintergrasian tiga bidang utama iaitu seni muzik, pergerakkan dan, seni visual, maka SDP akan dijadikan sebagai medium untuk pengajaran secara penerokaan, pengembangan kreativiti, proses-proses berfikir secara kritis dan kreatif dalam penyelesaian masalah dan merangsang pembinaan keyakinan diri dan imej kendiri yang utuh. Integrasi ketiga-tiga bidang ini dengan mata pelajaran lain membantu dalam mengimbangkan perkembangan otak kiri dan otak kanan
Dengan adanya proses pembelajaran SDP murid akan lebih mudah untuk menerima kemahiran pembelajaran yang diajar oleh guru selari dengan perkembangan diri mereka . Dalam kaedah pengajaran inkuiri penemuan murid-murid diberi peluang meneroka dan mencari sendiri jawapan kepada permasalahan. . Menurut Mok Soon Sang (2002:198), kaedah inkuiri juga dikenali sebagai kaedah dapatan, kaedah penemuan atau kaeadah Heuristik.
Kaedah ini dapat membentuk sikap suka meneroka dan menyelidik dalam kalangan pelajar. Peluang inilah yang digunakan oleh murid-murid untuk melahirkan idea dan mendorong mereka menggunakan keupayaan akal dan fizikal untuk menyelesaikan masalah. Secara langsung emosi mereka menjadi berkembang dan begitu juga dengan sosial bila murid-murid ini berinteraksi sesama rakan sebaya dan guru.
3.3 Menghubungkaitkan pelbagai bidang dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah.
Selain itu juga Seni Dalam Pendidikan juga dapat menghubungkaitkan pelbagai bidang dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah. Penghubungkaitan membawa maksud menghubungkaitkan pelbagai bidang kemahiran dan pengetahuan dari beberapa mata pelajaran dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran.
Dengan adanya penghubungkaitan tersebut pembelajaran akan dapat membantu percambahan pemikiran murid dengan mengaitkan isi pengajaran guru dengan kehidupan seharian mereka. Pengajaran dan pembelajaran yang ada penghubungkaitan ini akan menghasilkan pembelajaran yang lebih efektif. Tujuan penghubungkaitan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah untuk meningkatkan lagi tahap kefahaman belajar murid-murid. Selain itu ia juga boleh membina serta melatih minda murid-murid untuk menjadi lebih aktif dan kreatif sekaligus dapat membantu pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran yang diajar.
Sebagai contoh, guru yang mengajar Pendidikan Seni Visual bertajuk ‘Haiwan’. Sebelum murid-murid membuat aktiviti menggambar atau aktiviti membuat rekaan dan corak yang berkaitan dengan haiwan, guru terlebih dulu mencungkil pengetahuan sedia ada murid dengan bersoaljawab beberapa soalan yang mudah dan ringkas. Antara aktviti yang boleh dijalankan ialah menamakan haiwan,mengajuk bunyi haiwan, menyatakan cara pergerakan haiwan, mengelaskan kumpulan haiwan dan sebagainya. Di sini elemen Sains dan seni pergerakan telah dihubungkaitkan. Untuk mengaitkan dengan bahasa dan muzik, guru meminta murid menyanyi mana-mana lagu yang ada kaitan dengan haiwan
3.4 Memperkembangan kemahiran ataupun aspek psikomotor kanak-kanak sekolah rendah.
Selain itu Seni Dalam pendidikan juga amat penting dalam memperkembangan kemahiran ataupun aspek psikomotor kanak-kanak sekolah rendah. Aktiviti seperti pergerakan dilakukan supaya kanak-kanak akan mendapat lebih kefahaman tentang asas-asas pergerakan seperti penggunaan ruang, masa, imbangan berat badan dan daya.
Sebagai contoh murid membuat imbangan bangau dan kemudian berjalan mengimbangi diri di atas sebuah bangku panjang. Semasa melakukan aktiviti tersebut kanak-kanak akan dapat memperkembangkan konsep pembentukan kendiri dari segi emosi sosial, fizikal, rohani dan nilai-nilai murni. Dengan adanya aktiviti ini perkembangan psikomotor murid menjadi lebih meningkat dan sekaligus membantu mereka menggunakan kesemua deria yang ada pada mereka untuk memudahkan penerimaan ilmu pengetahuan.
3.5 Memenuhi keperluan sosial asas kanak-kanak
Selain daripada itu SDP sebenarnya dapat memenuhi keperluan sosial asas kanak-kanak. Apabila semua murid berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan minat dan kebolehan mereka, maka akan terbentuk satu situasi ideal yang dapat memenuhi kedua-dua matlamat sosial iaitu rasa ketermilikan dan keinginan diterima sebagai anggota kelompok.
Murid-murid mahukan dirinya diterima sebagai anggota sebuah kelompok dan pada masa yang sama memerlukan kasih saying. Dalam kegiatan Seni Dalam Pendidikan, keperluan untuk belaian sekurang-kurangnya dipenuhi melalui pujian dan galakan yang diberi sebaik sahaja mereka memersembahkan aktiviti yang menarik.
Perhubungan mesra antara murid dengan murid dapat mewujudkan suasana yang harmonis dan menyebabkan murid merasakan bahawa guru dan rakan-rakan prihatin terhadap dirinya dan menghargai bakat yang dimiliki.
No comments:
Post a Comment